history

Sektor awam memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio ekonomi sesebuah Negara. Malahan, sektor ini merupakan nadi kepada penggubalan dan pelaksanaan dasar kerajaan terutama negara-negara sedang membangun.Dalam konteks ini, Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sentiasa memberi perhatian kepada latihan dan pembangunan kakitangan sektor awam yang merupakan sepuluh peratus dari jumlah keseluruhan guna tenaga negara. Ini dicerminkan melalui pelaksanaan pelbagai polisidan programberkaitan dengan aspek latihan dan pembangunan yang diperkenalkan secara berterusan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.

Pada masa ini USM telah menawarkan pelbagai program pendidikan formal dan program pembangunan profesional kepada kakitangan sektor awam pelbagai peringkat di Malaysia. Sehubungan dengan itu, penubuhan PIPPA ini ialah untuk memperkukuhkan komitmen USM dalam menjana sumber manusia sektor awam yang berkualiti dan berpengetahuan seiring dengan tuntutan semasa. Di peringkat negara, penubuhan pusat ini juga selaras dengan amanat YAB Perdana Menteri pada 2 Julai 2012 yang mahukan perkhidmatan awam berteraskan kepada nilai CTI (cepat, tepat dan integriti) dan PCI (produktiviti, kreativiti dan inovasi).

Idea penubuhan PiPPA pada peringkat awal dicetuskan hasil kolaborasi unik pentadbir USM dengan rakan akademik di Murdoch University dan University of Western Australia. Hasrat ini kemudiannya diperkukuhkan lagi melalui perbincangan Y.Bhg Professor Dato’ Omar Osman, Naib Canselor USM dengan rakan sejawatnya iaitu Professor Richard Higgott , Naib Canselor, Murdoch University dan Winthrop Professor Bill Louden, Timbalan Naib Canselor Kanan, University of Western Australia pada penghujung Mei 2012. Pada bulan Jun 2012, Professor James Perry seorang tokoh akademik terkenal dalam pentadbiran awam dari Indiana University, Amerika Syarikat telah bersetuju menjadi Penasihat Kehormat PIPPA.

Lanjutan dari itu, Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) melalui mesyuaratnya pada 15 Ogos 2012 telah meluluskan penubuhan program ini. Secara rasminya PIPPA mula operasi pada 2 Oktober 2012 dengan diketuai oleh seorang Pengarah.